“Polis sedang menyiasat keaslian objek berbentuk senjata itu yang dibawa peserta ketika perarakan berkenaan sama ada replika atau sebaliknya,” itu kata Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Husain.
Menurut beliau polis kini masih meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung tindakan peserta membawa objek berbentuk senjata pada perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di sini, kelmarin.
Affandi Husain, berkata tindakan tersebut diambil selepas gambar perarakan tersebut yang dianjurkan oleh Pemuda Pas negeri tular di media sosial sejak semalam.
Katanya, pihak polis telah berhubung dengan wakil penganjur untuk dipanggil membantu siasatan, selain menunggu sekiranya terdapat laporan polis dibuat mana-mana individu mengenai perarakan tersebut.
Semalam tular di media sosial gambar kira-kira 10 peserta Himpit berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak dan perisai ketika penganjuran program itu.
Selain itu turut tular gambar memaparkan pacuan empat roda yang membawa objek berbentuk sebilah pedang besar di bahagian muatan belakang kenderaan terbabit.
Tamat