“Adun di Sabah ini memang suka lompat macam monyet… lompat sana lompat sini, sehingga dia terlupa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” itu satu kenyataan pedas daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin petang semalam di Dewan Parlimen.

Menurutnya kelakuan itu tak ubah seperti monyet apabila sanggup keluar parti hanya semata-mata demi wang jawatan.

“Akta Lompat Parti tidak diterjemahkan di sebuah negeri termasuk di Sabah sebab itu sampai hari ini masih ada pembelian Adun dari parti lain.

“Asal jadi pengkhianat saja dapat jawatan, melompat jadi menteri, walaupun tak layak tak ada pendidikan langsung pun (boleh) jadi menteri,” katanya.

Beliau turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya campur tangan dalam isu ini.

“Kerajaan negeri tak memikirkan hala tuju masa depan rakyat Sabah, hanya memikirkan bagaimana pertahankan kuasa memperlihatkan kepada orang ramai bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah kuat.

“Mengugut orang sana sini membeli dengan wang ringgit dengan tawaran jawatan dan sebagainya. Ini harus dihentikan,” katanya.

Tamat