“Tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan bagi menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam,” itu kata tegas daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Jelas nyata pihaknya kecewa dengan tindakan kerajaan kini melalui Belanjawan 2023 yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.
“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan,”
“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunakan ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adnan, inisiatif kerajaan memberikan pengurangan cukai pendapatan individu sebenarnya tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan boleh guna terutama penjawat awam.
Menyentuh isu pemilikan dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata, kerajaan sewajarnya memperkenalkan semula program perumahan mampu milik untuk penjawat awam seperti sebelum ini.
“Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.
“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.
Tamat