“Kami dari Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anak muda bandar dan luar bandar serta yang berada di luar negara yang memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU ke-15,” itu ucapan Ketua Penerangan PAS Pusat Ir. Ts. Khairil Nizam Khairudin yang dilihat menimbulkan kegelisahan kepada kerajaan PH.
Menurutnya akibat gelombang anak muda itu menyebabkan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail ‘koyak’ seterusnya menghina anak muda yang nyata memihak kepada PN.
Ucapan Saifuddin dalam video yang tular di media sosial: “Kecenderungan orang muda yang tinggi pelajaran dan stabil pendapatan mereka akan undi PH. Tetapi makna pelajaran yang tidak tinggi naik motor pi sana sini ini mereka bagi kepada Perikatan lah.”
Kata-kata itu jelas menghina anak muda sekali gus membuktikan PH tidak mengambil langkah serius dalam membela hak anak muda.
Khairil Nizam berkata cukup angkuh kata-kata Saifuddin s menuduh mereka tidak berpelajaran kerana telah mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRU ke-15.
“Ini bukan kali pertama pemimpin PH menghina pengundi muda. Jelas sekali mereka amat terkesan dengan penolakan pengundi muda kepada PH pada PRU ke-15.
“Kebangkitan anak-anak muda dari semua latar belakang menolak PH dan BN amat jelas, malah ramai dalam kalangan mereka ini adalah terpelajar dan berkerjaya.
“Kami yakin dengan keangkuhan sikap pemimpin PH ini bakal diterjemah dengan penolakan lebih ramai anak muda pelbagai latar belakang terhadap PH dalam Pilihan Raya Negeri di Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang nanti,” katanya.
Tamat