“Elakkan masuk ke bandar Kota Tinggi jika tiada urusan penting buat sementara, kerana kebanyakan laluan utama dinaiki air,” itu kenyataan rasmi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi dalam Facebooknya.

Kenyataan itu dibuat setelah enam laluan utama di daerah ini ditutup susulan kawasan bandar Kota Tinggi dinaiki air akibat hujan berterusan sejak malam tadi sekali gus ianya berbahaya kepada pengguna jalan raya.

“Setakat jam 8 pagi tadi, enam laluan ditutup iaitu J245 Jalan Tun Sri Lanang (Landmark Simpang Kampung Makam), J245 Jalan Tun Sri Lanang (Bandar Kota Tinggi) dan juga Jalan Kota Kecil (Stesyen Minyak Petronas).

“Tiga lagi laluan adalah FT91 Jalan Kota Tinggi – Kluang (Kampung Jawa), FT91 Jalan Kota Tinggi – Kluang (Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab) dan FT91 Jalan Kota Tinggi – Kluang (Kampung Batu 25),” katanya.

Setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini dengan 32 keluarga terdiri daripada 132 mangsa sudah dipindahkan.

Semua mangsa itu kini ditempatkan di PPS dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang yang dibuka pada jam 3.20 pagi.

Dua lagi PPS turut dibuka iaitu di Dewan Semerah Padi dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota.

Tamat

Advertisement