“Sekarang bayangkanlah banjir di Mersing. Ahli Parlimen Mersing tidak diberi peruntukan, sedangkan yang lain (Ahli Parlimen kerajaan) dapat peruntukan,” itu kata MP PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Walaupun sukar bagi dirinya, namun beliau terpaksa mengambil sikap lantang dengan menegur Anwar Ibrahim supaya menggesa kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) bersikap adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti, termasuk kepada pembangkang.

Menurutnya kerajaan perlu berlaku adil kepada semua ahli Parlimen atau berisiko menjadikan rakyat sebagai mangsa jika peruntukan tidak diagihkan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Misalnya sekarang banjir di Johor. Negeri ini ada 26 Ahli Parlimen, 24 daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), manakala dua daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu di Pagoh dan Mersing.

“Jadi macam mana dia nak tolong rakyat dia? Bukan semua Ahli Parlimen kita kaya.

“Janganlah ‘kalau untuk kita boleh (beri peruntukan) tetapi kalau untuk lawan, pandai-pandailah.’ Tak boleh macam itu. Ini mesti adil,” katanya

Sebelum ini, Ahli Parlimen PN kerap mempersoalkan mengenai peruntukan wakil rakyat yang masih belum diterima mereka, berbanding amalan pemberian peruntukan secara adil kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, kerajaan perlu membuktikan perjuangan reformasi melalui tindakan, antaranya dengan melakukan pindaan undang-undang berkenaan.

“Sekurang-kurangnya saya nak rekodkan dalam Dewan ini, kita buatlah sesuatu yang betul iaitu perlu ada pindaan undang-undang. (Peruntukan diberi) automatik tak kira pembangkang atau kerajaan, hak kepada Ahli Parlimen diberi sama rata.

“Jangan kita aniaya, jangan jadikan rakyat kita mangsa. Saya ada besan dan menantu yang tak sokong parti yang saya wakili, tetapi sokong PAS atau PN. Janganlah hukum mereka.

“Di Terengganu, ramai waris saya juga. Ertinya kita bagi peluang yang adil kepada semua,” katanya sambil disahut sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Hassan sebelum ini mengkritik Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersekongkol dengan UMNO yang disifatkannya sebagai kelompok kes jenayah, dalam menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Beliau juga mengakui akhirnya sedar tertipu dengan perjuangan pengasas reformasi Malaysia itu yang kini sanggup menggadai prinsip demi mendapatkan kuasa.

Menyifatkan beliau selama ini tertipu dengan laungan ‘reformasi’ yang dibawa Anwar, Hassan juga seolah-olah menyesal kerana beliau turut terlibat meuar-uarkan prinsip itu ke seluruh ceruk rantau, mengajak rakyat memberi sokongan.

Tamat

Advertisement