Hanya berbekalkan pengalaman mengaharungi latihan berjalan melalui arus deras di sungai bekas askar wataniah nekad meredah banjir bagi mencari sumber makanan buat anak-anak kecil di PPS Seri Bali.

Mohd. Salleh Ishak, 47 berkata dia tidak dapat menahan perasaan sedih apabila mendengar rintihan bayi kelaparan membuatkan dia nekad keluar mencari makanan buat mangsa banjir.

“Keluarga saya serta kira-kira 60 keluarga lain mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, di sini pada awal pagi Rabu lalu.

“Namun, situasi luar jangka dan paras air yang tinggi berserta arus deras di laluan masuk ke sekolah ini menyebabkan bantuan tidak boleh dihantar. Kesemua mangsa terpaksa menahan lapar selama dua malam di PPS.

“Selepas itu, saya nekad menghubungi beberapa penduduk berhampiran yang tidak terjejas banjir meminta bantuan mereka bagi menyediakan beberapa makanan kepada mangsa banjir di PPS ini,” katanya.

Walaupun terpaksa mengambil risiko dia nekad bagi memastikan mangsa banjir yang lain dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Ini kerana ketika itu tidak ada bantuan yang dapat masuk ke PPS dan hanya ada jiran-jiran di kawasan berhampiran yang tidak dilanda banjir untuk meminta sedikit makanan di rumah mereka.

“Masalah pada awalnya adalah bagaimana makanan yang dimasak itu hendak dibawa ke PPS kerana arus sangat deras. Tetapi berbekalkan pengalaman sebagai askar wataniah, saya nekad menjunjung makanan dan memegang sebelah tangan pada tali dan ada juga makanan sambil meredah banjir.

“Apa yang saya fikir ketika itu hanyalah keadaan anak-anak kecil di PPS ini yang sudah mula menangis kelaparan dan hanya berdoa supaya tidak ada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya yang menetap di Kampung Jawa Baru dan bertindak meredah arus sebanyak lima kali untuk mengambil dan membawa makanan berkenaan.

Sebelum ini, video berdurasi 26 saat dalam aplikasi TikTok tular menunjukkan Mohd. Salleh yang sanggup meredah arus deras dengan membawa makanan.

“SK Seri Bali ini sejak tahun 1980-an lagi memang biasa dijadikan PPS, tetapi tidak pernah langsung dinaiki air. Namun kali ini berbeza apabila air memasuki kawasan sekolah setinggi satu meter dan mangsa yang berada di PPS terpaksa bergegas pindah ke bilik darjah di tingkat atas.

“Situasi kali ini amat menyayat hati kerana pada awalnya mereka semua terpaksa kelaparan dan apabila saya dapat ambil makanan, mereka terpaksa pula catu makanan kerana bimbang air lambat surut dan bantuan tidak dapat masuk ke kawasan itu,” jelasnya.

Tamat

Advertisement