Peladang haram musang king kini semakin menunjukkan taringnya apabila mulai menceroboh masuk tanah hutan Simpan Bukit Kinta Perak.

Lebih menghairankan dan menjadi tanda tanya apabila modus operandinya sama seperti Raub Pahang apabila masyarakat orang Asli berkenaan ‘diberikan notis’ pengusiran seakan ada tangan ghaib yang merancang untuk mengambil tanah itu.

Ini bukan kali pertama ianya terjadi, keadaan sama seperti di Bentong, Raub apabila peladang haram ini diambil tindakan undang-undang maka wujud ahli politik DAP yang datang membantu.

Menurut Tok Batin, Alang Apok Sitam, 66, berkata 163 penduduk Orang Asli Kampung Sungai Sinju, Simpang Pulai itu terdiri daripada 42 keluarga kononnya diberi tempoh sehingga 30 hari untuk mengosongkan lot-lot tanah berkenaan bagi memberi laluan kerja-kerja penanaman durian musang king.

“Kami menyedari perkara ini setelah terlihat jentera-jentera berat mula memasuki kampung pada 26 September lalu dengan menolak pokok-pokok dalam dusun.

“Bukan sahaja pokok buah-buahan ditolak, hasil hutan seperti buluh, bertam dan kayu yang digunakan untuk membina rumah kami turut dimusnahkan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Memorandum Aduan Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan tadi.

Menurutnya mereka memang penduduk asal kawasan berkenaan adalah tidak adil sekiranya mereka terpaksa berpindah hanya untuk memberi peluang kepada peladang durian haram.

“Surat peguam itu diterima pada 23 Februari lalu dan kami pula dianggap seperti menceroboh tanah yang diduduki nenek moyang kami.

“Projek yang dijalankan tanpa pengetahuan kami itu telah menyulitkan lagi kehidupan penduduk.

“Ke mana lagi kami hendak pindah, inilah satu-satunya penempatan yang kami ada,” katanya.

Alang berkata adalah perlu bagi kerajaan negeri tindakan tegas bagi menyelamatkan tanah berkenaan.

“Tinggal beberapa minggu lagi sebelum mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kami. Aduan telah diajukan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kami turut berharap kerajaan negeri menyemak semula pemberian milik tanah tersebut dengan mengambil kira kebajikan masyarakat suku Temiar di sini,” katanya.

Tamat

Diolah Daripada – Sinar Harian



Advertisement

Advertisement