Mungkin ilmu madu tiga sudah tidak berkesan zaman ini menyebabkan seorang pengusaha kedai emas yang juga isteri ketiga seorang ahli perniagaan ‘naik hantu’ dengan mengetuk cermin hadapan dan belakang kereta jenis Mercedes-Benz hingga pecah selain merosakkan bahagian belakang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda Gold Wing milik suaminya.
Akibat perbuatan itu Siti Fazira Mohd. Sofian, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat terhadap dua kenderaan milik suaminya di rumah madunya pada Ahad lalu.
Tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
Siti Fazira didakwa melakukan perbuatan khianat di rumah isteri kedua suaminya di Taman Gong Pauh, Chukai di sini pada pukul 2.15 petang, Ahad lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan sebuah akhbar tempatan melaporkan, wanita tersebut bertindak menceroboh masuk kediaman madunya yang merupakan isteri kedua selepas berang suaminya tidak pulang ke rumahnya selama dua hari.
Kedua wanita bergelut sebelum jari kanan madu tertuduh yang berusia 34 tahun tercedera.
Tamat