“Ancaman ini sangat biasa bagi pendakwah, bahkan kita dapat melihat dalam sejarah rasul dan para nabi bagaimana mereka diancam,” itu kata Pendakwah selebriti, PU Syed.

Menurutnya beliau tidak akan berhenti menyebarkan dakwah biarpun menerima ugutan bunuh gara-gara tindakannya yang membantah penganjuran konsert kumpulan Blackpink, minggu lalu.

Sudah menjadi adat orang berjuang ke jalan Allah sekiranya dihalang daripada menjalankan kerja dakwah serta Amal maruf nahi mungkar.

“Ini kali pertama saya berdepan ugutan bunuh, tetapi saya tahu ia adalah akaun palsu. Jadi, saya tidak bercadang membuat laporan polis kerana ia sudah dipadamkan.

“Bagaimanapun, saya sempat menangkap layar ugutan berkenaan. “Daripada gaya tulisan pemilik akaun, saya tahu menggunakan terjemahan enjin pencarian Google.

“Jadi, saya tidak sikit pun tergugat atau takut, sebaliknya akan tetap memberikan teguran jika perlu,” tegasnya.

Terdahulu, menerusi perkongsian dalam TikTok, Pu Syed mendedahkan menerima ancaman menembaknya daripada individu tidak dikenali menerusi mesej langsung dihantar ke akaun Instagram.

Tidak sekadar itu, pemilik akaun berkenaan turut mendoakan anak-anaknya terkena jangkitan virus disebabkan tindakannya menentang penganjuran konsert Blackpink yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya bukan rasul, saya hanyalah seorang pendakwah yang mengajak orang mencegah kemungkaran dan melakukan kebaikan.

“Itu sahaja yang boleh diberi ancaman kepada kita, walaupun saya tahu itu adalah akaun palsu, tetapi selagi hayat ada, saya akan menegakkan mencegah kemungkaran tidak kira siapa dengan izin Allah.

“Saya hendak sahabat semua marilah membuka mata dan minda untuk kita yang berada pada akhir zaman supaya menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran sebab kita risau anak cucu kita nanti.

“Saya ada anak-anak, risau mereka akan berada dalam keadaan yang sesat, suatu masa nanti. Kita perlu menyelamatkan mereka daripada lembah kehancuran,” katanya.

Tamat