“Saya berasa kecewa atas tindakan kurang cermat Kubang Rotan dalam TikTok semalam,” itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang DUN tadi.

Asmirul membuat tuduhan seolah-olah titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 pada Ahad disediakan kerajaan negeri.

Oleh itu Sanusi membuat teguran tersebut sebelum membawa usul ucapan menjunjung kasih terhadap Sultan Kedah atas perkenan baginda menyampaikan titah tersebut.

“Walau kita bercakap di media sosial, janganlah kita buat tuduhan seolah-olah titah dizahirkan tuanku itu disediakan kerajaan negeri kerana tindakan sedemikian merendahkan institusi Sultan.

“Saya tengok di TikTok semalam, Kubang Rotan ada menyebut perkara tersebut,” katanya.

Muhammad Sanusi menambah, beliau membangkitkan perkara itu kerana baru-baru ini berlaku perbahasan panas di Parlimen setelah terdapat bekas menteri yang menyebut kononnya, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disediakan kerajaan Persekutuan.

Advertisement