“Tiba-tiba dia keluarkan cota dari poket. Dia pukul berkali-kali belakang kepala Kamal, darah berjurai di baju,” itu kata Uqasha Senrose isteri kepada pelakon Kamal Adli selepas dicederakan oleh seorang lelaki yang tak dikenali mereka di Singapura, malam tadi.
Menurutnya suaminya perlu menjalani pembedahan kerana luka yang besar dan panjang.
“Saya sedih kerana Kamal perlu jalani pembedahan, sebab belakang kepala luka panjang. Mungkin, dia kena ditidurkan.
“Saya tak boleh nak masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya.
Menurut Uqasha Senrose mereka sedang berada pada satu acara karnival jualan di negara jiran itu, kemudianya mereka diserang menyebabkan suami cedera parah.
“Kami ada acara ekspo di Singapura. Hari ini adalah hari terakhir dan kami dah nak selesai. Lebih kurang jam 10 malam, ada seorang makcik nak bergambar di kerusi roda.
“Saya dan suami bergambar dengan makcik itu. Tiba-tiba, ada seorang lelaki datang dan bertanya, Kamal mana.
“Kami fikir, dia peminat, namun dipukulnya kepala Kamal. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam,” katanya.Â
Pada masa sama mereka kini trauma apabila dia dan adik beradiknya turut menerima ugutan daripada individu itu.
“Bila dia dah ditangkap oleh orang awam, dia berikan beberapa alasan antaranya, konon dia dihantar oleh satu pihak. Kemudian, katanya dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya.
“Yang menjadi kerisauan kami, dia sempat memberikan ugutan kepada kami. Katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik beradik saya dan akan menanggung akibatnya.
“Kalau dia ada cota dan senjata tajam, tak mustahil dia ada senjata api juga. Depan polis pun dia berani berikan ugutan,” katanya.
Tamat