“Adalah tidak benar untuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendakwa kita tidak pernah membuat permohonan. Libat urus projek KXP ini sudah dijalankan sejak 2013 bersama agensi Kerajaan Persekutuan dengan yang terkini pada Januari lalu,” itu kata tegas daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau sejak 2013 kerajaan negeri sudah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama Kerajaan Persekutuan berhubung projek berkenaan namun apabila bertukar kerajaan lain pula ceritanya berkenaan kelulusan kepada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bagi membolehkan pembangunannya diteruskan.

“Saya nasihatkan Menteri Pengangkutan rujuk perkara ini dengan pegawai yang berkenaan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang usaha yang kita jalankan.

“Disebabkan itu saya minta diadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan gambaran sebenar kepada beliau mengenai pembangunan Kedah Aerotropolis dan KXP.

“Saya bimbang beliau hanya mendapat penerangan sebelah pihak sahaja, tanpa penerangan kita, maka ia akan terus dilihat sebagai saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya.

Tamat

Advertisement