“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain agama Islam,” itu kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Menurutnya beliau mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

“Namun semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari lalu berkaitan dengan ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’, program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Melalui program itu belia yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput menyertainya termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, esok.

“Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.

“Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,

“Ini bagi memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga pembabitan orang Islam dalam ritual agama lain.

“Kaedah fiqh menekankan ‘menolak keburukan perlu didahulukan daripada mengambil kebaikan’, membawa maksud apa-apa aktiviti yang menggalakkan orang awam beragama Islam memasuki tempat ibadah orang bukan Islam secara terbuka untuk mempelajari agama bukan Islam lebih membawa kepada kesan negatif daripada kebaikan menjaga akidah kepada umat Islam khususnya belia Islam dan ia perlu ditolak dan disekat,” katanya.

Tamat

Advertisement