“Waran tangkap terbatal apabila hadir. Ia belum lagi dilaksanakan dan perbicaraan akan bersambung hari ini (Ahad) hingga Khamis,” itu tegas Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku peguam kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah selepas gagal hadir dalam perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) Parlimen Marang Khamis lalu.

Menurutnya Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan selepas Mohd Nor hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung kes itu pada Ahad.

Menurutnya, kedua-dua pihak iaitu responden dan pempetisyen bersetuju supaya saksi bagi kedua-dua pihak dipanggil sekiranya terdapat ruang untuk berbuat demikian.

“Pihak pempetisyen masih mempunyai tiga saksi yang belum dipanggil tapi mahkamah membenarkan kita memanggil saksi responden dulu, tak ikut aturan biasalah (kebiasaan).

“Ia dipersetujui oleh pihak kita (responden) dan pihak pempetisyen. Bila ada ruang kosong di mahkamah saksi yang berkelapangan boleh ambil (tampil).

“Selepas ini (mahkamah) akan panggil saksi pihak pempetisyen,” ujar beliau.

Pada masa sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Mohd Nor hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini bagi memberi keterangan berhubung petisyen PRU15 Parlimen Marang.

Kedua-duanya tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi semalam.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan perintah itu selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Hadi tampil buat kali pertama pada Ahad bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Hakim kemudianya menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Tamat

Advertisement