“Ini sebagai keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan,” itu kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berhubung satu iklan sebuah bar yang memaparkan imej lelaki bertubuh sasa, dalam pakaian seksi wanita dikenali ‘Privacy Club Tun Razak’ di Jalan Tun Razak, ibu negara akan dibuka 30 Mac ini.
Menurut beliau ‘Thai Hot Guy, mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas itu bertentangan dengan norma masyarakat di Malaysia serta bercanggah dengan Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
“Malah ia turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka,” katanya tadi.
Oleh itu Takiyuddin menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan.
Ini kerana, katanya, acara itu jelas berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan apatah lagi diadakan pada bulan Ramadan.
“Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.
“Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.
“Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini,” tegasnya.
Takiyuddin pada masa sama turut kesal apabila nama bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar.
Katanya, perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.
“Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran,” tegasnya.
Tamat