“Memandangkan Deepak Jaikishan tidak membuat laporan polis, maka saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis seperti mana yang saya janjikan,” kata Datuk Seri Wee Ka Siong melalui laman sosial Facebook milliknya pada 23 Mac lalu.

Menurut Presiden MCA itu, beliau membuat laporan polis berkaitan ‘perbelahan’ yang belum selesai antaranya dengan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, berhubung isu telur ayam import India.

Menurutnya beliau membuat laporan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada jam 1 pagi pada 22 Mac.

“Sebelum ini, pada Jumaat lalu (17 Mac 2023), saya telah mencabar Deepak Jaikishan supaya membuat laporan polis selepas beliau menafikan beliau pernah menelefon saya sebanyak 2 kali iaitu masing-masing pada jam 9.51 pagi dan 9.52 pagi 13 Mac 2023.

“Saya memberi Deepak 3 hari untuk berbuat demikian.

Menurutnya tiada siapa yang patut menyalahgunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) selain ucapan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat diberi imuniti di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak mahu mana-mana individu menggunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk melakukan tindakan yang tidak senonoh dan berbaur ugutan.

“Apatah lagi terhadap mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti berucap di dalam Dewan Rakyat seperti termaktub di dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang bentuk penyalahgunaan nama PMO amatlah dikesali. Justeru, saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung perkara ini,” katanya.

Ketika dalam Parlimen pada 15 Mac lalu, Ka Siong mendedahkan dihubungi pengimport telur ayam yang meminta beliau memperbetulkan kenyataannya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata individu itu telah menghubunginya dua kali dengan panggilan pertama di WhatsApp berdurasi 33 saat sebelum terputus secara tiba-tiba pada 9.51 pagi dan panggilan telefon kedua pada 9.52 pagi lebih tujuh minit.

“Sekiranya Deepak Jaikishan merasakan ada yang menyamar sebagai dia dan menghubungi saya, saya menggesa dia perlu membuat laporan polis untuk membersihkan namanya.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan polis dan saya akan mendedahkan semua bukti yang saya ada,” kata Ka Siong pada sidang media di Parlimen 16 Mac.

Isu telur ayam import dari India bermula pada 22 Februari apabila Ka Siong membangkitkannya di Dewan Rakyat semasa membahaskan usul ucapan terima kasih pada Titah Diraja.

Semasa perbahasannya, beliau memberi amaran bahawa kerajaan akan berdepan kritikan bertubi-tubi sekiranya masalah kekurangan telur ayam tidak dapat diselesaikan menjelang Ramadan dan Aidilfitri semakin hampir.

Ka Siong juga mengeluarkan tiga telur berbeza – satu dari India, telur keluaran tempatan dan telur diperkaya Omega 3 – untuk menunjukkan perbezaan saiz dan kosnya.

Telur yang diimport dari India adalah berkulit putih dan mempunyai berat antara 50 gram (g) dan 55g, yang boleh diklasifikasikan sebagai telur Gred D di Malaysia.

Tamat

Advertisement