Rejim Zionist semakin menunjukkan sifat iblisnya dengan sengaja melakukan sekatan buat umat Islam yang mahu beribadah mahupun mengunjungi Masjidil Al-Aqsa sepanjang Ramadhan ini.
Ketegangan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza kini semakin memuncak berikutan serangan berterusan oleh tentera Israel dan sekatan baharu itu, yang dilihat sebagai tindakan provokasi melampau.
Sekatan itu diumumkan Penyelaras Aktiviti Kerajaan Wilayah, Mejar Jeneral Ghassan Alyan, dalam satu kenyataan baru-baru ini.
“Hanya wanita semua peringkat umur, kanak-kanak lelaki sehingga 12 tahun dan lelaki berusia lebih 55 tahun akan dibenarkan masuk ke Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan tanpa permit.
“Bagaimanapun, Israel masih membenarkan lelaki berumur 45 hingga 55 tahun memasuki masjid berkenaan tetapi perlu mendapatkan permit terlebih dulu,” katanya.
Di Semenanjung Gaza, Israel turut mengenakan kuota terhad untuk wanita berumur 50 tahun ke atas dan lelaki berumur 55 tahun ke atas dari Ahad hingga Khamis untuk memasuki Masjid al-Aqsa.
Pengarah Badan Amal Waqf Jordan, Azzam al-Kateeb, yang bertanggungjawab menguruskan kegiatan umat Islam Palestin di masjid berkenaan turut meluahkan kebimbangannya berhubung sekatan baharu itu.
“Kami mengambil masa dua bulan setiap tahun untuk membawa 500 kakitangan Waqf membuat persiapan menyambut Ramadan di Palestin dengan bantuan daripada sukarelawan.
“Akses logistik ke Masjid al-Aqsa untuk ratusan ribu penduduk Palestin mengerjakan solat tarawih dan penyediaan makanan berbuka puasa setiap malam untuk lebih 10,000 jemaah yang sudah kami uruskan dikhuatiri terganggu akibat sekatan baharu ini,” katanya.
Pada masa sama Hamas turut mengecam sekatan tidak masuk akal itu, lebih-lebih lagi kerana dikenakan ke atas warga Palestin yang mahu beribadat di Masjid al-Aqsa semasa bulan Ramadan.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Hamas bagi Hal Ehwal Baitulmaqdis, Mohammad Hamada, menyifatkan sekatan rejim zionis itu sebagai pelanggaran secara terang-terangan terhadap hak kebebasan beribadat umat Islam.
Beliau juga berkata, sekatan sedemikian dianggap sebagai campur tangan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh rejim zionis terhadap lokasi yang dianggap antara tempat paling suci bagi umat Islam.
Sehubungan itu, Mohammad menggesa warga Palestin terus mengunjungi masjid itu sepanjang bulan Ramadan bagi mempertahankannya daripada serangan dan pencerobohan tentera Israel.