“Macam manapun alasan dan dikatakan diminta Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tinggal sehari dua lagi, lepas itu jumpa…Perdana Menteri tidak patut pergi ke Arab Saudi kalau tiada ketetapan temujanji dengan Raja Salman dan Putera Mahkota,” itu persoalan terbesar daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut KJ tidak sepatutnya pergi ke Arab Saudi tanpa menetapkan temu janji bersama Raja Salman dan Mohammed bin Salman bukankah itu satu pembaziran dalam menggunakan wang kerajaan yang didanai oleh rakyat?

Seharusnya pertemuan dengan dua pemimpin Arab Saudi itu disifatkan penting untuk negara dari segi geopolitik, hubungan dua hala, diplomatik dan perdagangan namun ianya dilihat gagal sama sekali.

“Lainlah kalau ini lawatan peribadi untuk kerjakan ibadat Umrah tapi ini lawatan rasmi, maksudnya pembayar cukai bayar untuk Perdana Menteri pergi ke sana…ia adalah kunjungan untuk berjumpa dengan Raja atau sekurang-kurangnya Putera Mahkota,” katanya dengan serius melalui siaran podcast ‘Keluar Sekejap’ episod ketujuh bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Khairy berkata, bukannya tidak tahu soal tarikh itu kerana kebiasaannya orang Arab sendiri ‘personal space’ yang lama sepanjang Ramadhan terutamanya dalam menerima tetamu.

“Lebih-lebih lagi kalau orang tahu mengenai budaya di Arab Saudi, dia (delegasi) tidak akan pergi minggu pertama Ramadan sebab minggu pertama Ramadan memang jadualnya padat.

“Selain tidak boleh melakukan pada saat akhir (lawatan) mungkin mereka (Arab Saudi) sendiri beri isyarat, datang kemudian sebab minggu pertama Ramadan memang padat dan akhirnya ini yang jadi,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, kegagalan Anwar bertemu rakan sejawatnya di Arab Saudi adalah sesuatu yang memalukan, lebih-lebih lagi Arab Saudi adalah negara penting untuk Malaysia.

“Arab Saudi memainkan peranan penting di (Asia Barat) rantau itu dan ada banyak peluang perniagaan dan pelaburan di sana.

“Walaupun kita bukan dalam kerajaan namun beliau adalah Perdana Menteri kita, apabila berlaku di luar negara, ia bukan hanya malu kepada Perdana Menteri namun kepada rakyat dan juga kita,” katanya.

Khairy turut mengulas mengenai kenyataan seorang Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) iaitu Mohd Sany Hamzah yang mempertikaikan mengenai manfaat rakyat Malaysia, sekiranya Perdana Menteri dapat memasuki Kaabah.

Beliau menegaskan, sekiranya Perdana Menteri dapat memasuki Kaabah, ia adalah satu pengiktirafan bahawa pemimpin negara adalah tetamu Raja Arab Saudi.

Tamat

Advertisement