Selesai Malaysia membelasah Hong Kong 2-0 maka tamatlah sudah jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) malam kelmarin.
Sekali gus membuktikan kemenangan kedua skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon, dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 20-28 Mac selepas mengatasi Turkmenistan 1-0 di venue sama, Khamis lepas.
Pan Gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama malam ini, apabila menurunkan Shahrul Mohd Saad serta Quentin Cheng di benteng pertahanan, sementara mempertaruhkan Nooa Laine dan Muhamad Nor Azam Abdul Azih di bahagian tengah.
Hong Kong mulai tersentak pada minit ke-18, apabila kesilapan pemainnya Li Ngai Hoi berdekatan kotak penalti membawa padah selepas Mohamad Faisal Abdul Halim, berjaya merampas bola dan melorongkan kepada Muhammad Akhyar Abdul Rashid, yang tenang meledak gol pembukaan pasukan.
Jaringan kedua pasukan negara hadir pada minit ke-41 menerusi gerakan menarik berpunca hantaran jauh Ahmad Syihan, yang disambar Darren Lok sebelum melorongkan bola kepada Mohamad Faisal yang menggelecek pemain pertahanan lawan, sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri.
Selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, Malaysia terus mengekalkan permainan menyerang di babak kedua, sebelum Mohamad Faisal terlepas peluang keemasan untuk membawa pulang gol peribadi keduanya apabila rembatannya dalam kotak penalti tersasar pada minit ke-55.
Malaysia memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan di penghujung perlawanan, namun menyaksikan penyudah yang tumpul sekali gus terpaksa berpuas hati dengan jumlah 2-0 untuk kemenangan kedua itu, yang memberi petanda skuad negara berada di landasan tepat menuju Piala Asia 2023.
Sebagai rekod, kejayaan malam ini menyaksikan anak buah Pan Gon berjaya merakam kemenangan kedua berturut-turut berdepan Hong Kong, selepas turut merakam kemenangan 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jun tahun lepas.
Tamat