Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak akhirnya gagal untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.
Itu keputusan itu secara majoriti dibuat empat panel hakim yang dibaca Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan disokong Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Walaubagaimanapun Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.
Berikutan keputusan itu, Najib terpaksa kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.
Najib dilaporkan sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September tahun lalu.
Dalam permohonan kebenaran semakan sebelum ini, Najib mahukan mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu sekali gus melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Secara alternatif, Najib juga memohon supaya rayuan utama akhirnya didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Tamat