Lain macam kali ini, mungkin mahu menandingi karisma Khairy Jamaluddin yang dikaitkan dengan Kementerian Belia Dan Sukan sebelum ini, Hannah Yeah turut bertindak menjadi pembaca berita segmen sukan menerusi edisi sulung “Stadium RTM (Radio Televisyen Malaysia)” dalam Berita Perdana pada Sabtu lalu.

Hannah Yeoh selaku Menteri Belia Dan Sukan diberi penghormatan membuat penampilan eksklusif mengemudi segmen berkenaan yang memaparkan perkembangan sukan tempatan dan antarabangsa selama lebih empat minit itu.

Antara bahan berita dibaca Yeoh adalah paparan mengenai penyertaan Malaysia di Sukan SEA diikuti proses penurapan Litar Antarabangsa Sepang serta prestasi Harimau Malaya yang mencatat dua kemenangan dengan menumpaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, baru-baru ini.

Stadium RTM merupakan salah satu slot baharu dalam Berita Perdana yang tampil dengan wajah baharu bermula Sabtu menerusi pendekatan skrip lebih ringkas, penyampaian yang dinamik manakala durasi pula dipendekkan daripada sejam kepada 30 minit bersempena ulang tahun ke-77 RTM.

Tamat

Advertisement