“Datang satu jalan yang nak tunjukkan bahawa orang bawahan macam saya memang sangat memerlukan (wang pengeluaran KWSP) untuk menyelesaikan hutang-hutang sedia ada,” itu kata Norazlan Ismail, hanya seorang pemandu teksi.

Norazlan sungguh meredah sejauh 312 kilometer (km) dari Tol Skudai bagi membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selamat tiba di Pintu 3 Istana Negara semalam.

Misinya hanya satu mengarungi hujan panas selama lima hari untuk ke ibu negara atas desakan dan kepayahan hidup yang dialaminya serta dapat membuka mata pemimpin betapa KWSP itu dapat menjadi penyelamat waktu sebegini.

“Terima kasih kepada NGO, pemimpin tidak kira kerajaan ataupun blok pembangkang yang bersusah payah, daripada merekalah datangnya ilham saya.

“Alhamdulillah, harap perkara ini dapat lembutkan hati pemimpin kita,” katanya menerusi satu hantaran video yang dikongsikan di media sosial semalam.

Menurutnya dia berharap kesusahannya disedari pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lebih peka dengan keperluan rakyat kini yang dihimpit kesusahan.

“Alhamdulillah sekadar melecet sahaja, tetapi dengan semangat yang saya bawa dari Johor menambahkan kelajuan saya berjalan.

“Sepanjang perjalanan, ramai tegur dan nak hulurkan pertolongan. (Ada yang) nak tumpangkan, beri duit. Tetapi bukan itu motif saya. Kalau nak orang tumpangkan, baik saya naik bas dari Johor ke Kuala Lumpur. Tidak perlu susah-susah saya (jalan kaki).

“Saya nak pemimpin nampak perkara ini, syukur saya berjaya. Walaupun saya tidak dapat jumpa Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), tetapi Alhamdulillah saya dapat cenderahati daripada Tuanku, bermaksud Seri Paduka Baginda tahu saya ada di sini,” katanya.

Tamat

Advertisement