“Tidak kira siapa sahaja memerintah negara ini, biasiswa ini adalah milik istimewa orang-orang Melayu. Bangun bangkit bersama menuntut hak kita orang Melayu yang semakin terhakis terutama biasiswa,” itu kata Presiden PUTRA Datuk Dr. Ibrahim Ali, selepas tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menghentikan penajaan pelajar perubatan dan kejururawatan di universiti tempatan.

Menurutnya tindakan JPA itu secara tidak langsung melanggar Perkara 153 (2) dan 153 (3) Perlembagaan Persekutuan. Ini hak biasiswa kepada Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak sekian lama.

Ianya berhubung satu laporan media pada 23 Mac lalu JPA memutuskan tidak akan menawarkan tajaan kursus perubatan, pergigian dan farmasi.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan pelajar perubatan, kejururawatan atau sebagainya, isunya adalah semua bidang pelajaran yang membabitkan Bumiputera sebab hak istimewa orang Melayu yang saya sebutkan tadi Fasa 153 (2) dan Fasa 153 (3) menjadi kewajipan kerajaan.

” Oleh itu saya ingin mengajak orang Melayu dan Bumiputera supaya menyedari, menginsafi serta bangkit mempertahankan hak ini.

“Biasiswa di bawah JPA sekarang ini sudah dibahagikan seolah sama rata 50 peratus Bumiputera, 50 peratus bukan Bumiputera. Saya difahamkan begitu dan ada di kalangan Bumiputera yang mendapat tempat di luar negara dan universiti terkemuka, tetapi dalam negara kita dinafikan biasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung isu biasiswa pelajar Bumiputera di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada 31 Mac lalu.

Ibrahim Ali berkata seharusnya perlu diwujudkan siasatan kerana ianya seakan usaha menafikan secara halus dan terancang hak orang Melayu yang telah dilindungi di bawah Perlembagaan.

“Selain itu, ia juga merupakan satu perbuatan bersifat jenayah dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Pemberhentian atau pembatalan penajaan biasiaswa terutama kepada pelajar Melayu merupakan satu pencabulan terhadap keistimewaan yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama,” tegasnya.

Menurutnya perkara ini bukan sekadar main-main kerana tanpa biasiswa sukar untuk pelajar bumiputra ke tempat pengajian tinggi disebabkan kos yang terlalu mahal.

Oleh itu , beliau turut bertanya apa fungsi Perdana Menteri kini sehingga memandang remeh soal hak Bumiputra serta orang Melayu kinin

“Bila saya baca kenyataan JPA ini, tiada lagi penajaan untuk pelajar perubatan, ia termasuk pelajar Bumiputera. Kalau dia sebut tiada lagi penajaan untuk pelajar bukan Bumiputera, itu soal lainlah.

“Saya bercakap hak saya dan hak orang Melayu jangan terjejas dengan keputusan ini, yang menyebabkan Bumiputera juga terbantut.

“Ini bukan soal politik, walaupun saya orang politik, tapi tidak pernah berlumba untuk dapatkan kuasa atau membuat kekayaan itu dan ini. Sepanjang masa fokus saya adalah demi bangsa saya dan orang Melayu,” tegasnya.