Walaupun berlaku serangan daripada entiti penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai CaptainSmok3r namun laman web rasmi Jabatan Imigresen (JIM) tetap utuh tanpa sebarang kebocoran maklumat.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata serangan pada 2 pagi mengakibatkan ia gagal diakses dengan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej lain.

“Serangan siber ini berbentuk ‘defacement’. Bagaimanapun, capaian berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden ini,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu JIM mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web daripada diakses orang ramai untuk melakukan kerja baik pulih konfigurasi keselamatan laman web.

Menurutnya Bahagian Teknologi Maklumat JIM mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan CyberSecurity bagi membantu jabatan untuk tindakan pengukuhan laman web.

“Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula orang ramai petang ini.

“Jabatan ini menegaskan tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

JIM pada masa sama memaklumkan laman webnya iaitu http://www.imi.gov.my diselenggara buat sementara waktu.

Tamat