Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat agak berlembut kali ini apabila bersetuju memberi masa lanjutan kepada Anwar Ibrahim bagi menjawab notis tuntutannya untuk menarik balik kenyataan didakwa memfitnahnya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023.

Menurutnya beliau telahpun mengemukakan notis tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac lalu menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, serta memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan berkenaan yang dibuat pada 18 Mac lalu.

Tetuan Rafique berkata ia menerima makluman daripada peguam cara Anwar, iaitu Tetuan Thomas Phillip bahawa mereka memohon masa hingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan terbabit.

“Anak guam kami tiada halangan kepada permintaan itu… anak guam kami juga merizabkan segala hak beliau dalam tuntutan ini,” kata firma guaman itu.

Pada pada 28 Mac lalu, Dr Mahathir berkata walaupun Anwar tidak menyebut namanya (dalam kenyataan itu) tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

Antara tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya iaitu beliau mempunyai berbilion ringgit dan mengagihkan untuk keluarga, anak dan sebagainya serta dia seorang penyangak.

Tidak sekadar itu menurut Dr Mahathir berkata, ia memberi gambaran yang amat buruk terhadapnya dan adalah satu fitnah, melainkan Anwar boleh menunjukkan bukti bahawa beliau (Dr Mahathir) sudah mendapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara serta tidak membayar cukai.

Jelasnya, walaupun pernah melemparkan tuduhan hampir sama sebelum ini (sebelum menjadi perdana menteri) tetapi Anwar kini adalah Perdana Menteri yang mesti bertanggungjawab dan tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas.

Dr Mahathir berkata, beliau membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.

Tamat

Advertisement