“Kalau tak dijemput pun saya akan bawa teropong duduk tepi pagar airport. Sebagai pengunjung. Takkan lah depa nak halau,” itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan nada berseloroh untuk menyaksikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 LIMA 23 nanti.
Menurutnya tetap dengan pendirian akan hadir kerana beberapa persediaan sudah dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk penginapan, mobiliti, pengangkutan dan pihak keselamatan.
“Saya akan bawa teropong pergi duduk di tepi pagar airport (lapangan terbang). Saya ada kata kat pegawai saya kalau kita tak dijemput kita beli meja lipat seorang sebiji, teropong seorang satu, kita dok tepi pagar kita tengok kapal navy, kapal terbang.
“Kita tengok kapal navy, kita tengok kapal terbang. Sebagai pengunjung. Takkan lah depa nak halau… tepi itu ada orang jual laksa kan. Hujung airport itu… duduk situlah… bawah meja sendiri.
“Kalau tak dijemput saya akan hadir sebagai pengunjung… saya akan hadir, sebab hotel saya tempah dah… pasal program itu besar kalau tempah lambat hotel tak ada jadi pegawai saya dah tempah berbulan dulu.
“Hotel… bilik… kenderaan apa semua. Ada jabatan-jabatan tak ada kenderaan pun kita bagi semua. Kereta di tanah besar ni bawa ke sana. Termasuklah kereta MB itu. Jadi kalau saya tak boleh naik ambil lah kereta itu.
“Kita pengunjung duduk tepi (gerai) laksa kan. Boleh… saya boleh buat tahu. Lebih pada itu saya boleh buat. Saya boleh… cuba tak jemput saya,” katanya dengan nada bersahaja semalam.
Menurutnya walaupun ada jawapan daripada pihak menteri bahawa mereka akan membuat jemputan rasmi, beliau tetap berpendapat ada keputusan Kabinet yang tidak membenarkan beliau menyertai acara Kerajaan Persekutuan.
“Saya kira bila saya menyuarakan halangan atau larangan yang dikenakan kepada Menteri Besar Kedah maka kementerian-kementerian itu mengambil perhatian mengabaikan.
“Tapi saya rasa satu keputusan Kabinet hanya boleh diatasi dengan satu keputusan Kabinet yang lain… seperti membatalkan keputusan sebelum tu lah. Saya masih berpegang ada keputusan Kabinet tentang hal itu.
“Cuma oleh kerana takut jadi kecaman maka mereka buat-buat macam tak ada. Sebab pegawai saya tengok benda itu ada… tapi kerana keputusan itu sulit… orang susah nak dapat, jadi mereka kata lah tak ada,” katanya dengan serius.
Muhammad Sanusi turut menasihatkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak membuat dasar zaman batu dalam abad ke 21 ini.
“Tak sesuailah. Saya nasihatkan mereka yang di Kuala Lumpur itu untuk membuat satu dasar tengoklah keadaan semasa ini. Menimbulkan kebencian atau menimbulkan kasih sayang.
“Jadi, di saat dunia sedang menunjukkan kiamat, maka yang lebih baik untuk dipraktikkan dalam keadaan sekarang ialah dasar yang mencetuskan kasih sayang, keharmonian, perpaduan… dasar yang mencetuskan perbalahan, pergaduhan, pecah-belah, diskriminasi itu tidak lagi sesuai.
“Kalau mabuk kuasa pun janganlah tunjuk kat orang sangat,” tegasnya.
Tamat