SEJAK bila bukan Islam dianaktirikan? Sejak bila hak bukan Islam dinafikan? Kenapa perlu bandingkan pemimpin Kemboja jaga orang rakyat Islam? Apa kaitan?

Kita sudah raikan bukan Melayu (bukan Islam) lebih daripada sepatutnya. Keadilan yang diberikan telah lama diberikan.

Cuba pergi kira berapa banyak rumah ibadat bukan Islam, terutama kuil Hindu, tokong dan gereja. Surau masjid tidak sebanyak itu walaupun Islam agama persekutuan.

Cuba pergi kira bangsa mana yang terkaya di Malaysia? Adakah Melayu.

Cuba pergi kira kawasan kebesaran kawasan kubur bukan Melayu berbanding orang Islam sendiri? Cuba pergi kira rumah mewah di ibu kota seluruh negara?

Cuba pergi tengok ketika bukan Islam menyambut perayaan mereka. Bila tiba Tahun Baharu Cina, negara ini macam negara China.

Bila tiba Krismas, negara ini macam negara Kristian. Bila tiba Deepavali, negara ini macam negara Hindu. Bila tiba Thaipusam, negara ini sudah tidak menampakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Di negara India, tidak ada kebebasan perarakan sebegini. Di Negara kita, ketika Thaipusam, berapa banyak tempat seperti Kuala Lumpur, Batu Caves, Sungai Petani, Pulau Pinang dan banyak lagi, banyak jalan utama di tutup, ada yang berhari-hari, hanya memberikan laluan dan meraikan perayaan bangsa minoriti. Adakah hak mereka dinafikan.

Tenggelam habis ibu kota dengan perarakan agama mereka. Tenggelam habis perarakan maulid dan lain-lain perayaan besar Islam.

Apa semua ini? Sejak bila hak bukan Islam dinafikan? Kenapa ada pemimpin berucap sebegini?

Apakah hanya ada segelintir yang tidak mahu bersama dalam perayaan mereka, maka kita dituduh sebagai menafikan hak bukan Islam?

Kita tidak merayakan perayaan mereka, ada sebab. Biarkanlah mereka yang merayakannya. Kita tidak perlu menjadi lebih garpu daripada sudu. Pergilah kira berapa ramai orang Islam yang murtad?

Cetek sangat pemikiran kita. Jika yang bercakap itu orang marhaen seperti saya tidak mengapa lagi. Tetapi yang bercakap itu pembesar-pembesar.

Sedar atau tidak, identiti Melayu Islam di negara ini sudah lama tenggelam. Identiti bukan Islam semakin menonjol. Apakah itu bermakna lagi, kita tidak raikan bukan Islam?

Nak perkenalkan Jawi sedikit pun tidak berjaya ditentang hebat, akhirnya kita gagal. Nak menggunakan Jawi pada nama jalan-jalan ditentang hebat seperti dahulu, pun kita gagal.

Apakah sebenarnya maksud seorang pemimpin negara apabila berkata, kita tidak raikan hak bukan Islam (bukan Melayu).

Negara kitalah yang paling meraikan hak bukan Melayu dan bukan Islam.Realiti yang berlaku di seluruh dunia, hak orang Islamlah yang selalu dimangsakan di negara lain.

Apakah hak umat Islam di negara Hindu India? Apakah hak umat Islam di negara China? Sekadar menjadikan Kemboja sebagai contoh, teramat cetek dan naif sekali.

Sekarang baharu kita nampak umat Islam diraikan di Kemboja, sebelum itu bagaimana? Jangan perlu jauh tengok di Thailand dan Myanmar. Apakah kita sudah buta dalam melihat kebenaran?

Jangan hanya kerana bukan Melayu yang menjadikan kita dapat berkuasa, maka kita menjadi terlalu apologetik. Takkan pembesar kita tidak membaca sejarah asal-usul orang Melayu dan negara Melayu.

Orang Melayu hanya ada satu nama negara sahaja iaitu Tanah Melayu yang kini bernama Malaysia.Dengan Islamnya Melayu, orang Melayu menjadi terlalu baik meraikan orang lain.

Orang Melayu menjadi pemurah menerima pendatang menjadi rakyat negara ini, sehingga bilangan menjadi bertambah ramai.

Jika orang Melayu tidak meraikan, masakan bilangan boleh menjadi begitu banyak. Apakah kita buta semua ini sehingga masih menyalah Melayu?Sedarlah wahai pemimpinku. Bercakap benarlah

Dalam falsafah kita belajar beberapa falasi tidak formal, iaitu hasty generalization, red herring, ad hominem, strawman, appeal to authority, cliché dan wagon.

Nampaknya kesemua falasi ini ada pada pemimpin kita, demi untuk memastikan kuasanya tertegak dan kekal bertakhta.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi AmalMedia.

Advertisement