Cukup biadap, apabila seorang warga India bebas menjalankan aktiviti perniagaan cendol selama 20 tahun hanya menggunakan kad pengenalan orang lain.

Lelaki berkenaan seakan mempunyai lesen besar bebas kesana kemari itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.

Berdasarkan laporan berita tempatan, hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman terhadap Jahabudin Ahamed Hajmalgan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Jahabudin yang merupakan bapa kepada dua orang anak itu didapati memiliki kad pengenalan MyKad palsu atas nama seorang individu lelaki yang berusia 43 tahun dan beralamat di Jalan Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

Dia didapati melakukan kesalahan itu pada 31 Mac lalu, jam 12.15 tengah hari di Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berdasarkan fakta kes, Jahabudin ditangkap sewaktu hadir ke JPN untuk menukar kad pengenalan baharu sebelum dia dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN kerana memiliki kad pengenalan orang lain.

Hasil daripada semakan rekod menunjukkan nombor kad pengenalan MyKad itu adalah milik individu lain dan perbandingan cap jari juga tidak sepadan.

Malah, perbandingan gambar imej dari Sistem AFIS (Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik) juga tidak menunjukkan sebarang rekod.

Susulan itu, Jahabudin didakwa kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1900 (Pindaan 2007) yang meletakkan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Walau bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal berhujah agar hukuman berat dikenakan berikutan tertuduh memiliki cabutan kelahiran serta kad pengenalan palsu untuk tempoh lebih 20 tahun.

Berdasarkan maklumat Jahabudin turut menerima bantuan Aidilfitri sebanyak RM450 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan menggunakan maklumat kad pengenalan tersebut serta membuka dua akaun simpanan di Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam.

“Saya mohon tertuduh dikenakan hukuman yang berat dan setimpal atas jenayah yang dilakukan kerana ia mengancam keselamatan negara,” tegasnya.

Tamat

Sumber Asal – Harian Metro