Racun ikan buntal punca sehidup semati, suami pula maut selepas makan ikan buntal. Lelaki warga emas berusia 84 tahun, yang mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal pada 25 Mac lepas, disahkan meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pagi tadi.

Menurutnya Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata mangsa adalah pasangan wanita berusia 83 tahun yang maut selepas memakan ikan itu pada waktu tengah hari, hari yang sama.

Beliau berkata terdahulu, lelaki itu dipindahkan ke wad perubatan pada Rabu lepas dalam keadaan sedar dengan tanda vital pesakit stabil meskipun dengan bantuan alat pernafasan dan diberi makanan melalui Tiub Ryle.

“Bagaimanapun, pada kira-kira 5.20 pagi tadi, dia dikesan dalam keadaan tidak responsif ketika jururawat menguruskan pesakit lain. Bantuan kecemasan telah diberikan serta-merta sebelum dia disahkan meninggal dunia pada 6.20 pagi,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Ling berkata mayat mangsa telah dihantar kepada Unit Forensik sebelum diserahkan kepada waris bagi tujuan pengurusan mayat.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah mengambil tindakan ketika laporan kes pertama diterima dengan menjalankan siasatan di lapangan, mengenal pasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit dalam urus niaga ikan buntal itu.

“JKNJ telah dan akan mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan serta toksin atau racun untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh berhubung isu ini.

“Justeru, kerajaan negeri dan JKNJ meminta agar warga Johor untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui,” katanya sambil menambah Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan juga sudah membuka kertas siasatan di bawah Akta Makanan 1983.

Difahamkan, ini merupakan kali pertama pasangan warga emas yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang itu makan masakan berasaskan ikan buntal dengan mendapatkan bekalan daripada penjual secara pratempahan menerusi laman Facebook.

Pada 28 Mac lepas, Ling berkata seorang wanita warga emas meninggal dunia pada 25 Mac manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dipercayai akibat keracunan selepas memakan ikan buntal.

Tamat