“Keputusan menolak permohonan beliau adalah sebulat suara,” itu kata Ketua ARMADA BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas permohonan mantan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk kembali ‘ke pangkuan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Ahmad Fayhsal berkata permohonan terbabit ditolak kerana mantan Ahli Parlimen Ampang berkenaan tidak mahu meletak jawatan sebagai menteri selepas keluar daripada BERSATU, walaupun pelantikan dilakukan dengan kuota parti itu.
Pada 26 Mei 2022, Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sebelumnya, beliau menyertai BERSATU selepas dipecat daripada PKR, susulan didakwa terbabit dalam Langkah Sheraton pada 2020.
Namun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Zuraida yang bertanding di Parlimen Ampang atas tiket PBM bukan sahaja tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail di kerusi yang dipertahankannya selama tiga penggal, malah hilang wang deposit.
Zuraida hanya memperoleh 4,589 undi dalam pertandingan sembilan penjuru di Parlimen itu, manakala Rodziah mendapat 29,681 undi.
Beliau kemudian dipecat dari PBM pada Disember tahun lalu bersama 10 individu lain selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab diberikan parti itu.
Manakala, bulan lalu, Zuraida dipetik sebagai berkata, beliau tidak berhasrat bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya akan menyokong calon gabungan itu.
Tamat