Mana lagi hendak sorokkan muka apabila satu kontena berisi dadah jenis heroin sebanyak 336 kg bernilai RM 789 juta dirampas setibanya ia sampai di Brisbane Australia pada 13 Mac 2023 lalu.
Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dadah tersebut dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dan dikesan oleh Persekutuan Polis Australia (AFP) dengan merampas sebuah kontena yang mengandungi dua blok konkrit seberat 500 kg yang disembunyikan dengan dadah tersebut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac 2023 yang lepas.
“JSJN Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Australia berjaya menemui dadah dipercayai jenis heroin seberat 336 kilogram dalam satu kontena yang dibawa masuk ke Brisbane dari Malaysia.
Kesemua dadah terbabit ditemui ditanam dalam dua blok konkrit dalam kontena terbabit.
Siasatan mendapati, kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dialamatkan di sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.
Susulan penemuan itu, seorang lelaki berjaya ditahan dipercayai terlibat dalam penyeludupan dadah kedua terbesar dalam sejarah negara itu.
Tamat