Sebanyak 10,000 permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia bakal diluluskan dan sehingga kini, sebanyak 6,000 permohonan telah diluluskan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bertekad mahu meluluskan sebanyak mana permohonan yang ada.

“Dalam tempoh saya menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya bertekad untuk meluluskan sebanyak mungkin kes permohonan terutama yang menunggu sehingga 20 ke 30 tahun.

“Tanpa kompromi soal keselamatan, Insya-ALLAH kita akan uruskan permohonan ini sebaik mungkin untuk beri khabar gembira kepada mereka yang buat permohonan,” katanya.

Menurut Saifuddin, berdasarkan jumlah yang diluluskan, majoritinya adalah di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu anak kepada warganegara yang berumur kurang daripada 21 tahun.

“Apabila semua dokumen yang diberikan lengkap, sijil perkahwinan lengkap, mohon pun sudah lama, kita akan permudahkan. Ini supaya mereka yang mohon ini tidak menunggu terlalu lama,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 133,436 permohonan telah diterima dan sedang dalam penelitian untuk meluluskannya.

“Memohon warganegara ini adalah satu perkara yang besar. Warganegara datang dengan hak. Layak dilindungi. Hak wajib dijamin oleh warganegara. Hak dari segi keselamatan, mengundi, dapat pendidikan, perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Advertisement