Baru sahaja melelapkan mata tiba-tiba terdengar bunyi kawanan gajar liar mengganas dan memusnahkan kebun pisang serta 12 rumah Orang Asli, itu risiko yang terpaksa dilalui oleh Penduduk Kampung Gening, Pos Betau, Lipis baru-baru ini.
Menurut sumber kejadian yang telah berlarutan selama dua hari itu membuatkan penduduk kini hidup dalam ketakutan selepas kawanan gajah berjumlah kira-kira 13 ekor itu turut mengejar penduduk yang terpaksa berlari menyelamatkan diri.
Menurut seorang mangsa Bah Linsak Selek, 45, berkata, itu merupakan antara kejadian paling dasyat yang pernah berlaku kerana kawanan gajah berkenaan tiba-tiba mengamuk seakan hilang punca.
Menurutnya gajah liar berkenaan turut mengikut dan mengejar mereka apabila melihat cahaya lampu suluh ketika membawa keluarga menyelamatkan diri ke Kampung Gening Dua dan Kampung Bandar yang terletak berdekatan.
“Tuhan masih sayangkan kami kerana ada penduduk yang sedar dan menjerit supaya segera bangun dan keluar daripada rumah untuk membawa keluarga menyelamatkan diri.
“Ketika kami sedar daripada tidur kawanan gajah liar telah mematahkan tanaman pisang bersebelahan kediaman dan kemudiannya terus melibas belalainya sehingga rumah kami rosak teruk, manakala pakaian dan peralatan dapur berselerakan di tanah,” katanya.
Pada masa sama, seorang lagi penduduk, Along Bah Eh, 52, berkata, ketika melarikan diri beberapa ekor gajah liar turut mengekori mereka dan cuba mengejar apabila melihat cahaya lampu suluh.
Along berkata, demi keselamatan keluarga mereka terpaksa memadamkan lampu suluh dan meredah semak yang agak gelap untuk berpindah ke kampung berhampiran.
“Ketika balik ke kampung pagi ini, kami mendapati rumah kami rosak teruk apabila semua bahagian dinding buluh habis tercabut dan juga kerosakan pada lantai serta tiang,” katanya.
Menurutnya beliau berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan menangkap dan memindahkan kawanan gajah berkenaan demi keselamatan penduduk.
Tamat