Kerajaan Negeri Kedah hari ini mengumumkan satu inisiatif khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada semua pegawai masjid serta pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK).
Keadaan itu sekali gus meletakkan Menteri Besar Kedah sebagai individu yang disenangi oleh rakyatnya tanpa mengira sempadan parti.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan berjumlah hampir RM800,000 itu merangkumi bantuan kepada 3,924 penerima terdiri daripada 2,386 pegawai masjid seperti imam, bilal dan siak.
“Pemberian itu turut melibatkan 772 pengerusi MKK, 766 setiausaha MKK di seluruh Kedah yang mana bayaran akan dibuat melalui aplikasi i-Sara secara pemindahan tunai secara dalam talian (EFT) bermula 18 April ini.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Minggu lalu 5,100 penjawat awam Kedah tersenyum lebar apabila Sanusi mengumumkan Bantuan Khas sebanyak RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang turut akan dibayar pada tarikh sama.
Tamat