Ramadan ini menjadi ujian besar buat seorang imam di New Jersey Amerika apabila terpaksa bertarung dengan maut selepas ditikam menggunakan sebuah pisau selepas oleh seorang lelaki semasa mengimamkan solat Subuh pada Ahad lalu.

Berdasarkan daripada sebuah berita tempatan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada jam 5.30 pagi waktu tempatan di Masjid Omar di Paterson, New Jersey.

Sewaktu kejadian, imam tersebut, Sayed Elnakib serta kira-kira 200 jemaah lain yang sedang sujud secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang menerjah ke bahagian hadapan dengan sebilah pisau, lalu menikam imam tersebut dari belakang sebelum cuba melarikan diri.

Menurut Pejabat Pendakwa Daerah Passaic, lelaki tersebut dikenal pasti sebagai Serif Zorba yang berusia 32 tahun dan telah ditangkap serta didakwa dengan percubaan pembunuhan tahap pertama.

Namun, motif bagi serangan itu masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan video daripada masjid berkenaan, para jemaah berjaya menahan lelaki tersebut sehingga ketibaan pihak polis.

Iman tersebut bagaimanapun dihantar ke Pusat Perubatan Universiti St. Joseph dan berada dalam keadaan stabil.

Kata para jemaah, lelaki tersebut pernah dilihat di masjid sebelum ini untuk beribadah namun tidak dikenali oleh para jemaah dan lelaki berkenaan bukanlah ahli yang aktif.

Datuk Bandar, André Sayegh berkata, keberadaan pihak polis akan dipertingkatkan di masjid-masjid seluruh bandar bagi memastikan keselamatan orang ramai pada hari-hari terakhir Ramadan ini.

Tamat