“Saya betulkan fakta tentang KXP (Kedah Aerotropolis) dan tanah rizab Melayu. Saya bukan gaduh dengan mereka. Saya hanya memperbetulkan kesilapan mereka, yang mereka panas dan koyak, kenapa? – itu kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau kelantangan beliau selama ini adalah untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan Kedah daripada tuduhan yang tidak benar daripada beberapa pimpinan di peringkat Persekutuan.

Sanusi berkata beliau sendiri tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan asalkan berlandaskan fakta yang tepat terutama membabitkan isu Kedah Aerotropolis dan tanah rizab Melayu di negeri itu.

“Di Perlis orang tak kacau Perlis Aerotropolis dan tak ada cakap benda tidak benar tentang Perlis. Di Kelantan pun sama, tak ada orang cakap perihal perkara tak benar tentang Kelantan. Apa yang dijawab oleh beberapa menteri di Parlimen adalah tidak benar termasuklah Perdana Menteri,” katanya.

Itu berhubung isu yang dinyatakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan menyarankan Muhammad Sanusi untuk ‘belajar’ daripada Menteri Besar Perlis dan Kelantan dalam soal pentadbiran khususnya membabitkan hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, Menteri Besar Kedah itu berkata, pimpinan PH tidak memberikan gambaran sebenar terhadap karakter beliau sebagai seorang Menteri Besar.

Katanya, mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang tepat mengenai Kedah akan dirai sebagai rakan.

“Saya rasa bab berkawan baik dengan orang, saya lebih jauh mengatasi Mahfuz dan orang-orang ini semua dan saya boleh berkawan lebih baik daripada mereka semua tanpa mengira status, sebab itu saya boleh dapat banyak maklumat.

“Sebagai contoh, mereka apabila saman orang, (mereka) tidak berkawan lagi, (tetapi) saya boleh berkawan lagi, (apabila) Mahfuz saman saya, saya boleh (pergi) salam dengan dia, (tetapi) apabila saya saman dia, dia tak (mahu) salam dengan saya dah, sampai macam itu..perkara itu membezakan saya dengan mereka,” katanya.

Tamat

Advertisement