Setiap kali menjelang Ramadhan Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 pastinya meriah apabila ianya seakan pesta kerana penduduk-penduduk kebiasaanya membeli juadah berbuka bazar berkenaan lalu mengambil peluang berbuka beramai-ramai di situ.
Namun setelah berlakunya COVID 19 ianya terpaksa dihentikan seketika bagi mematuhi prosedur penjarakkan fizikal, tapi Alhamdulillah kini aktiviti berbuka puasa beramai–ramai itu mula menjadi pilihan rakyat Kuantan.
Paling istimewa apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut serta pada Sabtu lalu bersama keluarga Baginda mencemar duli berbuka puasa lokasi berkenaan bersama rakyat, yang menjadi tradisi Seri Paduka dan keluarga pada bulan Ramadan.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke padang itu pada jam 6 petang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama-sama anakanda-anakanda Seri Paduka berdua.
Menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.
Sebelum berbuka, Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni penjual dan pengunjung bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang itu, yang ingin bergambar bersama, selain baginda berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa.
Lebih istimewa Tunku Azizah turut berkenan mengagihkan kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk hasil air tangan baginda kepada pengunjung.
Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan dan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor.