KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan supaya menjaga adab dengan baik dan berkelakuan sopan serta tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan maruah diri sempena kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.Perkara tersebut ditegaskan dalam khutbah raya berkenaan bagi seluruh masjid di Wilayah Persekutuan.Menurut teks tersebut, kewujudan pelbagai media sosial kini yang membantu orang ramai menggambarkan kemeriahan hari lebaran itu perlu diikuti dengan batas agama ditetapkan.”Jagalah batas-batas pergaulan di antara kita yang bukan mahram dan pilihlah cara pemakaian yang mengikut syariat dan penuh kesopanan.”Dalam meraikan Aidilfitri, pastinya ramai dalam kalangan kita yang ingin menggambarkan kemeriahan menyambutnya di media sosial seperti di Facebook, Tik Tok, Reels, Instagram dan lain-lain.”Namun harus diingat supaya menjaga adab sopan dan akhlak Islam dengan berpakaian mengikut syariat, tidak menonjolkan perlakuan negatif seperti percampuran lelaki, wanita yang bukan mahram, tidak menutup aurat serta melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri,” kata teks itu.Tambah teks berkenaan, umat Islam perlu menjauhi daripada membelanjakan wang untuk perkara sia-sia pada hari raya seperti membeli mercun dan bunga api.Jelasnya, meskipun pihak berkuasa membenarkannya, namun terdapat keperluan lain yang lebih penting pada wang tersebut.”Cubalah mengelakkan pembaziran dan bahaya yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling.”Alangkah lebih baik duit yang digunakan untukmembeli bunga api dan mercun didahulukan untuk perbelanjaan yang penting khususnya untuk isteri, anak-anak dan ahli keluarga,” ujarnya.Teks khutbah itu turut menyentuh tentang nasihat kepada masyarakat agar menitikberatkan bantuan dan pertolongan terhadap insan yang kurang berkemampuan”Di saat kita menyambut Hari Raya dengan penuh kegembiraan, masih terdapat saudara-saudara kita yang masih diuji dengan kekurangan, kesedihan, kefakiran dan keuzuran.”Hulurkanlah bantuan kepada yang memerlukan terutama anak-anak yatim dan jiran tetangga yang diuji dengan kemiskinan, ambillah kesempatan untuk menziarahi saudara mara serta rakan taulan yang sedang menanggung ujian kesakitan di hospital mahupun terlantar di rumah.”Semoga apa yang dilakukan itu mampu mengukir senyuman di bibir mereka dan terbit rasa syukur di hati mereka kerana masih ada yang mengingati di hari lebaran penuh kegembiraan ini,” ujarnya.
http://dlvr.it/SmvGJH

Advertisement