“Saya anggap itu sebagai fitnah walaupun saya tak nak menafikan benda itu betul atau tidak,” itu pendirian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya beliau menganggap kontroversi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang didakwa terbabit dalam skandal seks dengan seorang wanita sebagai fitnah dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Beliau menegaskan, dalam dunia siber dan serba moden ini, pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.
“Sebab pengalaman ini, ramai sudah dapat tahu dan rasanya sama sahaja. Jadi saya pun tahu dan lihat ini adalah permainan musuh-musuh politik,” katanya.
Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri beliau berkata berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa seorang Exco negeri itu terbabit skandal seks dengan seorang wanita seperti mana tular di Facebook sejak semalam.
Menurutnya, beliau tahu asal usul kontroversi berkenaan selepas melihat dan meneliti perkara yang ditularkan itu, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
Beliau turut menyerahkan kepada anggota Exco terbabit sama ada mahu membuat laporan polis atau tindakan yang difikirkan wajar.