Jelas kini P Ramasamy lebih Melayu daripada pimpinan parti utama orang Melayu apabila menyatakan proklamasi 12 perkara itu bertujuan menyelamatkan orang Melayu itu amat ironi, kerana ia dicetuskan dan disokong pemimpin yang telah mengecewakan orang Melayu sebelum ini.

Haru biru kenyataan Ramasamy ini, tandatangan untuk penyatuan orang Melayu dan Islam pun dianggap salah sekarang, takkanlah nak serahkan nasib bangsa pada pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ramasamy yang memang sah terlibat dengan gerakan pengganas LTTE pun disucikan melalui DAP, orang Melayu hanya membina kesatuan pula dijadikan mangsa.

Menurut Ramasamy Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya bermatlamat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Proklamasi Berke hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu, bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan tiada kaitan dengan usaha memartabatkan orang Melayu.

“Ironinya, orang yang menjadi sumber pengisytiharan ini dan mereka yang menandatangani proklamasi itu adalah pemimpin sama yang telah mengecewakan orang Melayu selama beberapa dekad.

“Dr Mahathir walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri selama dua dekad, tidak pernah berusaha secara serius untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.

“Namun, sebagaimana seluruh dunia sedar, retorik perkauman dan agama telah digunakan dan dimanipulasi oleh Dr Mahathir untuk memperkayakan ahli keluarga dan kroninya.

“Sekiranya Dr Mahathir dan pemimpin PAS begitu tekad untuk memartabatkan orang Melayu, apa yang telah mereka lakukan selama ini?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu Ramasamy turut membuat tuduhan liar kepada pimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan dan Terengganu selama puluhan tahun, namun masih gagal mengangkat status orang Melayu di dua negeri itu yang didakwa ‘begitu miskin’, selain penduduk di Kelantan masih dihimpit isu air bersih.

Tamat

Advertisement