Kuala Lumpur: Senator Datuk Ras Adiba Radzi meminta masyarakat agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi mengelakkan kes penganiayaan terhadap anak-anak dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) berulang.

Presiden OKU Sentral itu berkata, beliau akan terus memperjuang nasib anak-anak OKU agar kejadian yang berlaku kepada remaja sindrom Down Bella tidak berulang.

“Saya harap masyarakat di luar sana akan menjadi mata dan telinga kami semua untuk memastikan anak-anak OKU tidak dianiaya seperti kejadian yang berlaku kepada Bella,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mengabai dan menganiaya Bella.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam serta semua sukarelawan dan saksi yang telah memastikan Bella mendapat keadilan yang sewajarnya,” kata beliau.

Datuk Baljit Singh Sindhu, yang mengetuai barisan peguam pemerhati dalam kes itu pula berkata, beliau gembira dengan keputusan mahkamah kerana keadilan memihak kepada Bella.

“Pelbagai agensi kerajaan perlu menganalisis dan belajar daripada kes ini. Sudah tiba masanya untuk melihat semua akta kanak-kanak dan undang-undang yang berkaitan serta melakukan pindaan sewajarnya di Parlimen,” katanya.

Siti Bainun, 31, diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Wanita itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Tamat

Sumber – BERNAMA