“Hakikatnya, hingga kini saya tidak pernah dituduh atau dihukum atas apa-apa kesalahan membabitkan salah guna kuasa dan salah guna wang sama ada semasa atau selepas berkhidmat sebagai perdana menteri,” itu kata Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuntut ganti rugi RM150 juta.

Ia berhubung ucapan Anwar Ibrahim di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu.

Anwar Ibrahim dilihat membuat tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas perdana menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.

Tuntutan saman berkenaan difailkan Dr Mahathir di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Menurut Dr Mahathir selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, keseluruhan program pada 18 Mac lalu dipaparkan secara siaran langsung antara lainnya melalui sidang ‘Facebook live’ akaun Facebook milik Anwar sendiri dan di saluran YouTube Parti Keadilan Rakyat.

Malah menurut plaintif, klip video dan laporan media mengenai kenyataan Anwar ditonton dan disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube yang secara jelas ditujukan kepadanya.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), itu berkata kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.

Katanya, kenyataan Anwar bahawa kononnya beliau hanya membincangkan soal rakyat selepas ‘kehilangan kuasa’ adalah tidak benar yang bertujuan menjatuhkan imejnya.

Menurut Dr Mahathir, semua kenyataan itu menimbulkan persepsi buruk dan mencalarkan imejnya sebagai negarawan yang mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang disegani di seluruh Malaysia dan dunia.

“Saya menafikan segala tuduhan mengenai ‘pembolotan’ harta untuk keluarga dan anak-anak. Hakikatnya, semua anak saya adalah individu yang berjaya dalam perniagaan tanpa campur tangan saya dan salah guna kuasa daripada saya sebagai perdana menteri.

Mengambil faktor defendan adalah perdana menteri kini, ia adalah penting untuk memastikan setiap kenyataan yang disebut adalah berdasarkan kepada fakta dan bukannya khabar daripada media atau mana-mana individu semata-mata.

Dr Mahathir berkata, mengambil faktor Anwar adalah perdana menteri yang mempunyai kuasa dan tenaga kerja untuk menyelidik dan memastikan sebarang fakta sebelum ia dituturkan, beliau layak menuntut sejumlah wang ganti rugi tauladan yang tinggi sebagai pengajaran kepada mana-mana pemimpin untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa.

Selain ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi tauladan RM100 juta, Dr Mahathir turut menuntut perintah antaranya Anwar dengan serta merta menarik balik dan memadamkan kesemua kenyataan itu serta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya.

Tamat

Advertisement