Pakar alam sekitar meramalkan fenomena El Nino bakal berlaku di Malaysia sekitar Jun serta rakyat dinasihatkan mengambil langkah berjaga-berjaga bagi mengelakkan kesan suhu panas.

Menurut pakar alam sekitar, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, berkata walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena itu, persiapan awal meliputi semua aspek perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.

Beliau berkata, berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

“Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.

“Seterusnya mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa selain alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran,” katanya melalui satu portal berita tempatan.

Selain itu rakyat perlu membuat persedian dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia.

“Setiap dari kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.

“Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tamat.

Advertisement