Kuala Lumpur: Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan peguam dalam rayuan Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun semasa pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache hari ini.
Sebelum ini, Hisyam adalah peguam dalam rayuan akhir kerani wanita, Sam Ke Ting yang didakwa atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja penunggang basikal lajak pada 2017 di Johor Bahru.
Nur’Aminahtul turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya juga telah memfailkan permohonan untuk penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhi oleh Hakim Mahkamah Sesyen pada 3 Mei lalu.
“Perakuan segera difailkan pada 3 Mei lepas kerana permohonan ini perlu didengar segera berikutan Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan dan peguam Datuk Hisyam akan mengetuai kes ini,” katanya.
Permohonan itu difailkan atas alasan Siti Bainun selaku pemohon mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu, menanggung seorang ibu tua sakit yang memerlukan perhatian serta rawatan, selain Siti Bainun masih bergiat aktif dalam kerja-kerja amal serta banyak menyumbang dalam kegiatan kebajikan.
Seorang lagi peguam Siti Bainun, Ahmad Faiz Munawar berkata, afidavit bagi menyokong permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman sudah difailkan dan memohon tarikh pendengaran ditetapkan selewat-lewatnya minggu hadapan.
Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas bagaimanapun memberitahu mahkamah, pihaknya memerlukan masa selama 14 hari untuk menjawab afidavit berkenaan.
Hakim Ahmad Bache mengarahkan pihak pendakwaan menjawab afidavit itu dalam tempoh 10 hari dan menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar permohonan itu.
Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun, 31, menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Izralizam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sementara itu, Siti Bainun dilihat melambai tangan sambil membuat kucupan layang kepada ibu dan ahli keluarga yang hadir pada prosiding hari ini sebelum meninggalkan mahkamah.
Tamat
Sumber – BERNAMA