“Saya bimbang projek ini hanya ‘gula-gula’ yang ditaburkan kerajaan campuran dan negeri, lebih menyedihkan sekiranya terjadi projek gajah putih seperti yang berlaku pada projek terowong dasar laut,” itu kata Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh.

Menurutnya rakyat hanya ‘digula-gulakan’ berkaitan pelaksanaan segera projek Transit Aliran Ringat (LRT) Bayan Lepas Pulau Pinang.

Ini kerana pilihan raya semakin dekat dan pihaknya bimbang jika ia hanya dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi.

Adalah lebih baik kerajaan negeri menyelesaikan beberapa isu penting yang kini sedang berlaku di Pulau Pinang seperti percerobohan, pengambilan tanah, masalah feri, banjir, keselamatan penduduk daripada warga asing dan penempatan semula yang melibatkan penduduk setempat.

Pada masa sama kemampuan kerajaan negeri dilihat terhad jadi bagaimana projek tersebut akan bermula pada pertengahan tahun hadapan sedangkan banyak isu utama belum diselesaikan.

“Saya rasa sebaik sahaja projek ini beroperasi, pelbagai isu lagi akan timbul kerana ini melibatkan banyak pihak termasuk tanah penduduk, struktur bangunaan dan paling penting masjid-masjid dan rumah ibadat.

“Saya berharap perancangan dan penelitian harus dibuat sebelum melaksanakan projek ini bukan sekadar janji manis sahaja. Malah ia tidak banyak membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Tamat

Advertisement