Memang berada diluar kotak fikiran apabila seorang kanak-kanak yang hanya baru berusia enam tahun sudahpun memandu sebuah kereta jenis Vios sambil mambawa adiknya tiga tahun untuk bersiar-siar dan akhirnya terbabas di Jalan Bukit Tangga di Langkawi, malam Selasa

Berdasarkan pemerhatian kanak-kanak berkenaan memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumahnya sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima satu panggilan telefon daripada orang awam mengenai satu kemalangan jalan raya di kawasan tersebut, pada pukul 11.15 malam.

“Kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa dan hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

“Pemandu mengalami kecederaan di dagu, manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, dua beradik itu dipercayai keluar dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur, manakala ibu berada di dalam bilik air.

“Kanak-kanak itu dipercayai memandu pada jarak kira-kira 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu,” katanya.

Menurut Shariman, kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular video menunjukkan seorang kanak-kanak memandu kereta Toyota Vios sehingga terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

Tamat