Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang terdiri daripada 284 orang berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi tadi dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Penerbangan MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah itu berlepas pada jam 2.05 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada 5.50 pagi (waktu tempatan).

Pelepasan kumpulan itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman, serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Hamadah berkata seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima pada musim kali ini.

“Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak Covid-19 melanda. Insya-Allah, TH bersedia menyantuni kesemua jemaah haji negara dengan kerjasama petugas haji termasuk kakitangan dari agensi lain bagi memastikan perjalanan mereka lancar,” katanya.

Bagi tahun ini, hari wuquf (9 Zulhijah) dijangka jatuh pada 27 Jun.

Penerbangan pulang terakhir jemaah Malaysia pula ialah pada 1 Ogos depan.

Tahun ini sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines berbanding 48 pada 2022.

Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri.

Selain KLIA, stesen berlepas itu ialah Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; dan Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber – Bernama

Advertisement