Keluarga peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, memohon seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa dengan mereka agar dia ditemui selamat.

Ibunya Che Tom Hassan, 64, berkata mereka sekeluarga juga tidak mendapat sebarang berita atau perkhabaran daripada Muhammad Hawari, 33, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu.

“Kami sekeluarga mengetahui mengenai kehilangan Warie melalui media sosial pagi semalam dan saya ada cuba menghubungi pasukannya untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenainya namun gagal.

“Kali terakhir saya dapat berhubung semasa Warie berada di kem dua, dia minta kami semua berdoa dan buat bacaan Yasin supaya dapat naik puncak Everest.

“Pada masa sama Warie pesan jangan risaukan dia.. dia OK dan selamat.

“Selepas tu Khamis lepas, kami dapat maklumat Warie berjaya naik ke puncak Everest dan itu berita yang mengembirakan kami sekeluarga sebelum pagi semalam dapat tahu dia hilang, kami mohon doa semua rakyat Malaysia agar Warie ditemui selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas hari ini.

Che Tom berkata walaupun terkejut dengan berita kehilangan anaknya itu pada Jumaat, namun mereka – termasuk isteri dan dua anak Muhammad Hawari – kekal positif dan berharap dia akan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Katanya mereka sekeluarga juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon keselamatan serta kesejahteraan Muhammad Hawari.

“Sejak di sekolah rendah lagi, Warie memang bercita-cita untuk naik ke puncak Everest dan dia sebenarnya seorang yang sentiasa bersemangat, berkeyakinan dan aktif… dulu di sekolah semua sukan dan pertandingan dia sertai,” katanya yang beberapa kali menahan tangis.

Wanita itu berharap pihak berkaitan juga dapat menyalurkan perkembangan atau maklumat mengenai pencarian Muhammad Hawari di sana supaya keluarga menerima berita yang jelas.

“Sehingga hari ini, kami tak dapat kesan atau mendapat berita mengenai Warie.

“Sebagai ibu makcik memang sedih tapi dalam masa sama makcik perlu kuat dan sentiasa berdoa agar anak ditemui selamat dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Seni Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS akan mengadakan solat hajat malam ini bagi memohon keselamatan Muhammad Hawari.

Unit Penerangan dan Media Baru DACS dalam hantaran di Facebook hari ini berkata solat hajat akan diadakan di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena, selepas solat isyak malam ini dan orang ramai dijemput menyertainya.

Muhammad Hawari yang merupakan anak jati Permatang Kerai Besar memulakan perjalanan ke Nepal pada 1 April dalam misi menawan puncak Everest dan sepatutnya pulang pada 11 Jun.

Muhammad Hawari dipercayai turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest dan berita kehilangannya sudah dilapor media tempatan Nepal.

Sumber – Bernama

Advertisement