“Hawari (Muhammad Hawari) sudah hilang sejak Jumaat (19 Mei), dah lebih 48 jam. Kebarangkalian untuk hidup itu memang sukar. Tetapi kita doakan keajaiban berlaku. Memang pihak penyelamat pun sudah bertungkus-lumus cuba mencarinya,” itu kata Penjelajah Grand Slam negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Menurutnya kebarangkalian hidup adalah sangat sukar terutama dalam situasi kesejukan melampau yang boleh mencecah negatif 20 hingga 30 darjah Celsius ditambah dengan salji tebal di gunung tertinggi dunia berkenaan.

“Semalam (kelmarin) saya dapat maklumat pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah melakukan penerbangan menggunakan helikopter sehingga di kawasan berketinggian 8,300 meter tetapi masih tidak dijumpai,” katanya selepas mengulas kejadian itu melalui portal berita tempatan.

Muhammad Hawari, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran adalah antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang memulakan perjalanan ke Nepal pada 1 April sehingga 11 Jun 2023 dalam misi menawan puncak Everest.

Menurut Qobin berkata, pasukan SAR turut berdepan dengan cabaran masa dan perlu secepat yang mungkin bagi memastikan Muhammad Hawari ditemui.

“Yang pertama, saya nampak perlu segera (untuk memastikan Muhammad Hawari ditemui). Kedua, jika hidup kemungkinan dia akan mengalami atau berhadapan radang dingin (frost bite).

“Sekiranya terjatuh dan jika ada salji tebal yang lembut dan menenggelamkan atau pun tertimbus, itu amat sukar untuk dicari,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya menuruni dari kem empat ke kem tiga juga menyebabkan keletihan melampau serta memerlukan alat bantuan pernafasan untuk bekalan oksigen.

“Saya risau itu yang berlaku jika dia tidak mampu bernafas. Ekspedisi disertainya memang yang menggunakan oksigen (alat bantuan pernafasan daripada tangki oksigen), jadi memang kem empat sudah mula kena guna oksigen. Jadi kalau dia berjalan tanpa guna oksigen, itu lebih membahayakan,” katanya.

Kebiasaanya, tangki oksigen yang biasanya dibawa pendaki boleh tahan minimum empat jam dan maksimum 10 jam untuk bekalan oksigen.

“Kalau sudah sampai ke kem dua, jika kita ‘fit’, tak guna oksigen pun tak apa.

“Namun tetap penat berjalan seperti kepenatan memecut berlari 100 meter walaupun sebenarnya berjalan lima enam langkah saja,” katanya.

Tamat

Advertisement